Showing posts with label demokrasi. Show all posts
Showing posts with label demokrasi. Show all posts

Monday, 17 September 2012

POLITIK KAMPUS


Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) adalah sebuah institusi pelajar (students body) yang sangat penting di universiti, sekalipun ia telah mengalami suatu proses pemposisian semula (repositioning) dalam kedudukannya di universiti dan pengstrukturan semula (restructuring) dalam keorganisasiannya sehinggamemberi kesan kepada ruang pengaruh dan kekuasaan yang dimiliki oleh badan itu.

Proses repositioning dan restructuringyang berlaku dalam suatu tempoh dan secara beransur-ansur itu – sama ada ia dijalankan atas nama agenda pemerkasaan ATAU dengan tujuan political interest pihak-pihak tertentu, ditambah pula dengan pelbagai peraturan yang mengikat – telah memberi suatu kesan yang tidak molek iaitu lahirnya barisan kepimpinan MPP yang hanya ‘work IN system’ berbanding ‘work ON system’.

MPP dengan peranannya untuk memupuk kesedaran akademik dan kerjaya dalam kalangan mahasiswa, memperjuangkan agenda kebajikan, membina penyatuan mahasiswa untuk memperjuangkan hak, menyebarkan maklumat, bertindak sebagai perantara hubungan diplomasi antara pentadbiran universiti dan pelajar serta mendokong visi dan misi universiti, sudah pasti berhajat kepada sebuah barisan kepimpinan yang berdaya saing, karismatik dan berani.

Titik puncaknya ialah proses pemilihan kepimpinan MPP itu sendiri iaitu Pilihanraya Kampus (PRK). Kerana melalui proses inilah, ‘siapa yang begitu dan begini’, akan dipilih menjadi wakil kepada pelajar. Maka, penyempunaan proses ini berkehendak kepada dua (2) perkara;PERTAMA, partisipasi menyeluruh mahasiswa, dan KEDUA, pelaksanaan sistem pilihanraya yang adil dan telus. Proses PRK ini tidak boleh dipalit dengan perancangan dan tragedi yang merugikan masa depan anak bangsa.

Himpunan Merdeka Kampus atau nama patriotik penganjurannya National Students Marchingyang diadakan pada 16 September yang lepas sewajarnya mendapat perhatian serius arus perdana dan prihatin pelbagai pihak. Mahasiswa, pensyarah, pentadbir universiti, masyarakat awam, pemimpin masyarakat, kerajaan, media dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaanperlu mengambil sikap bertanggungjawab dengan mendengar, meneliti dan bertindak ke atas isu yang diutarakan.

PERTAMA, berkenaan dengan kecekapan dan keberkesanan pelaksanaan PRK, dan KEDUA, berkenaan dengan signifikasi PRK sesi 2012/2013 di ambang Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13).

Tuntutan 6 Perkara Piliharaya Adil dan Bersih yang dikemukakan oleh mahasiswa iaitu penetapan tarikh PRK dalam kalendar universitipenglibatan mahasiswa dalam election commissioner, pemantauan perjalanan PRK oleh badan bebas, sistem pengundian yang telus, kebebasan berkempen dan peruntukkan dana untuk calonadalah suatu gagasan electoral reform yang sangat baik yang dapat memelihara kutulenan demokrasi, mendidik mahasiswa untuk berjiwa besar dan sekaligus dapat mengatasi masalah kemeruduman penglibatan mahasiswa dalam proses ini. Maka, tidak ada sebab untuk tuntutan ini ditolak daripada dilaksanakan.

Malangnya, di ambang PRU13 ini, telah wujud konspirasi terancang (OPS2020) untuk memperalatkan PRK demi survival politik regim pemerintah yang dijalankan di bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan melibatkan antaranya Biro Tata Negara (BTN), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga isu ini telah dibangkitkan di parlimen pada 20 Jun 2012 yang lepas. OPS2020 ini dilihat sebagai suatu tindakan terdesak kerajaan bertujuan memberi kekalahan moral kepada pihak pembangkang.

Tindakan sebegini secara langsung telah mencemarkan institusi pendidikan tinggi sebagai sebuah institusi ilmu yang bebas daripada pengaruh dan cengkaman politik berkepentingan, mencabar nilai ‘kemahasiswaan’, dan telah menterjemahkan bahawa tiadanya jaminan akan terpeliharanya ketulenan demokrasi di Malaysia, khususnya dalam PRU13 akan datang.

Jika demikian keadaannya, bererti hak rakyat telah dikhianati, dan ini pastinya akan mengundang rasa tidak puas hati. Perasaan tidak puas hati akan membuatkan seseorang menentang dengan lebih hebat dan hatinya lebih sukar dipuaskan. Jika cukup teruk, perasaan ini bukan sahaja telah mampu menumpaskan Sukarno atau Nehru atau Moulay Hasan, bahkan juga menumpaskan Indonesia atau India atau Maghribi. Pastikan, jika tidak mampu puaskan hati orang, jangan sakitkan hati orang. Jika tidak, DS Najib dan Malaysia juga boleh ‘ditumpaskan’ oleh perasaan ini.

Eikhwan Ali
Pengerusi Inspirasi
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia

Wednesday, 12 September 2012

Jangan cemarkan demokrasi kampus!


Jika ditanya kepada masyarakat umum soalan “siapakah mahasiswa” pasti mereka akan menjawab mahasiswa adalah pemimpin masa depan negara. Ada juga jawapan yang mengatakan mahasiswa adalah agen perubahan negara ke arah yang lebih baik. Tidak ketinggalan jawapan mahasiswa adalah golongan intelektual yang mempunyai pemikiran yang bijak. Tidak perlu saya sebutkan semua jawapan yang ada kerana jawapan itu terletak pada pemikiran masing-masing.
 
Segala jawapan di atas adalah objektif yang dilihat relevan dan sesuai berdasarkan realiti dari sudut pandang masyarakat umum. Tidak banyak beza sekiranya persoalan di atas bila mana ditanya kepada pentadbiran universiti, sudah pasti jawapannya hapir sama. Oleh itu persoalan yang akan saya lontarkan di sini adalah bagaimana pihak universiti memberi ruang yang lebih demokrasi kepada mahasiswa untuk mereka beraksi, untuk mereka memimpin, untuk mereka berpolitik, bepersatuan, membuat keputusan dan sebagainya.
 
Pihak universiti perlu tahu peranan mahasiswa dan kesuburan demokrasi kampus. Seharusnya mahasiswa diberi kebebasan untuk mereka melakukan apa sahaja selagi mana perkara tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak, serta falsafah universiti. Amat mendukacitakan bilamana pihak universiti memberi doktrinisasi negatif kepada mahasiswa serta momokan yang tidak sepatutnya. Sebagai contohnya adalah mahasiswa dilarang untuk berpolitik dalam kampus serta menyatakan pendirian pada politik luar atau mengambil tahu soal politik luar atau mengkritik urustadbir negara yang kurang baik. Ini adalah satu perkara yang sepatutnya tidak berlaku dalam negara yang kononnya sudah 55 tahun merdeka.
 
Bahang PRK
 
Baru-baru ini Pro Mahasiswa Nasional yang dipimpin oleh saudara Edikoup Lakip Sediyanto dari Universiti Malaya membentangkan beberapa perkara yang perlu diperbaiki dalam pilihan raya kampus semasa konvensyen Pro Mahasiswa Nasional. Saya bersetuju dengan 6 tuntutan tersebut untuk memastikan demokrasi kampus dalam pilihan raya kampus lebih telus,adil,dan mempunyai integriti yang ditunjukkan oleh semua pihak. Ada pihak yang mempersoalkan bahawa tidak demokrasikah pilihan raya kampus sebelum ini?
 
Saya ingin menjawab persoalan ini bahawa kebanyakan kampus yang disertai oleh Pro Mahasiswa mereka tidak dibenarkan untuk berkempen di kolej kediaman sedangkan hak berkempen itu bebas selagi berada dalam tempoh berkempen. Ada juga universiti yang membatalkan kemenangan wakil atau calon pro mahasiswa kerana berkempen menggunakan facebook atau twitter. Demokrasikah itu? Tepuk dada tanya akal.
 
Pendirian tentang Demokrasi Kampus Tulen
 
Saya berpendiriana bahawa pihak universiti tidak sepatutnya menghalang mahasiswa untuk berpolitik. Kedua, mahasiswa harus diberi kebabasan berfikir dalam pilihan raya kampus dalam memilih calon mahupun dalam apa jua aktiviti kerana mereka akan lebih terbuka dan lebih berfikir secara matang dalam membuat penilaian dan keputusan. Ketiga, tolak budaya politik “ ampu”, kerana budaya ini tidak mematangkan mahasiswa malah membantutkan budaya usaha dan kerjasama dikalangan mahasiswa. Andai perkara ini terus berlaku, saya tidak teragak-agak mengatakan bahawa objektif dan matlamat KPT serta unviersiti gagal.Hal ini kerana melahirkan mahasiswa yang gagal dalam kemahiran serta tidak ada budaya saing yang sihat dikalangan mahasiswa.
 
Saya juga lebih cenderung untuk pihak universiti memperbanyakkan wacana ilmiah tentang pendidikan negara, politik negara, sistem ekonomi negara melibatkan partisipasi mahasiswa untuk dibincangkan secara terbuka dan kritikal bagi membolehkan mahasiswa faham akan peranan jangka panjang mereka. Negara yang baik adalah negara yang memberi ruang kepada rakyat yang intelek khususnya untuk bersuara dan menyatakan pendapat walaupun pendapat dan cadangan tersebut amat pedih.
 
 
Muhammad Ikram Darus
Timbalan Pengerusi
Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)
merangkap mantan Naib Presiden 4 MPMUKM