Shah Alam, 9 September : Pro-Mahasiswa Nasional, yang ketika ini menguasai beberapa kampus utama sekitar Lembah Klang hari ini mengambil inisiatif menganjurkan satu konvensyen sebagai bukti bersedia menghadapi Pilihan Raya Kampus.
Penganjurannya juga diberitakan untuk memberi isyarat bahawa mereka kali ini serius dalam menghadapi gelombang p
emilihan Majlis Perwakilan Pelajar itu berdasarkan kenyataan Datuk Ahmad Maslan di UPM baru-baru ini.
Menurut kenyataan Datuk Ahmad Maslan, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau menyatakan Pilihan Raya Kampus seluruh IPTA/S Malaysia akan diadakan serentak 25 September ini.
Sehingga kini, UM, UKM, UIA, UPM serta beberapa buah kampus lagi sudah mengumumkan akan mengadakan Pilihan Raya pada 25 September ini.
Edikoup diumum Pengerusi Baru Pro-Mahasiswa
Pro-Mahasiswa yang ditubuhkan pada tahun 2007 turut mengumumkan mahasiswa Tahun Tiga Universiti Malaya, Edikoup Lakip Sediyanto dilantik sebagai Pengerusi baru Pro-Mahasiswa Nasional di konvensyen yang dianjur di Universiti Selangor (UniSEL) kampus Shah Alam.
Edikoup yang dilantik menggantikan Mohd Taufiq Abdul, diberitakan meraih undi tertinggi berbanding empat lagi calon yang dikemukakan.
Kemuka Enam Tuntutan Bersih Kampus
Sementara itu, konvensyen yang dihadiri hampir 500 mahasiswa dari pelbagai kampus itu turut melancarkan manifesto di peringkat nasional dan enam tuntutan bersih kampus.
Pro-Mahasiswa melalui pembentangan Muhammad Ikram Darus (MPM UKM), menggagaskan dua tuntutan bersama manifesto dalam isu kebajikan mahasiswa iaitu pendidikan percuma dan menangguhkan tempoh bersara 60 tahun bagi elakkan pengangguran mahasiswa.
Edikoup dalam pembentangannya pula menyatakan Pro-Mahasiswa menuntut enam tuntutan dalam Bersih Kampus.
Menariknya, tuntutan yang bertemakan 'Bersih, Telus dan Berintegriti' itu turut menuntut agar setiap kampus memberi peruntukan dana calon kepada semua calon yang bakal bertanding.
"Peruntukan dana calon penting dalam persediaan kempen setiap calon yang bertanding. Ianya adil kerana sebelum ini kerap kedengaran sebelah pihak sahaja mendapat peruntukan khas pentadbiran universiti.", jelasnya.
Lima lagi tuntutan adalah menyamai tuntutan yang dibuat sebelum ini.
Fokusnya adalah penerapan tarikh PRK, mahasiswa terlibat urus PRK, bebas berkempen, sistem pengundian telus dan pemantauan badan badan.
Mahasiswa Mencorak Landskap Politik Negara
Dalam pada itu, pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor turut hadir bagi membentangkan kertas kerja mengenai peranan mahasiswa dalam arena politik negara.
Menurut sumber, beliau lebih banyak membentangkan mengenai sejarah politik Malaysia dan peranan mahasiswa dalam mengubah landskap politk Malaysia akan datang.
"Saya jangkakan perubahan besar akan berlaku. Kalau tidak pada PRU-13 nanti, ia mungkin pada PRU-14 atau PRU-15. Yang penting bukan terpaksa menunggu sedekad dua dekad untuk lihat perubahan.", ujarnya.
Konvesyen yang berlangsung sehingga 6 petang hari ini (Ahad) turut menampilkan Pengerusi SMM,Muhammad Safwan Anang Talib dan Presiden GAMIS, Akram Ikrami Taib Azamudden untuk memanaskan pentas pidato.
Pro-Mahasiswa turut menyatakan satu himpunan mahasiswa bakal dianjur pada 16 September ini.
Oleh : Edikoup Lakip Sediyanto (Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional Sesi 2012/2013)