KENYATAAN MEDIA BERSAMA
23 SEPTEMBER 2012 M / 07 ZULKAEDAH 1433 H
PRINSIP POLITIK KAMPUS YANG TULEN DAN BERSIH HARUS DIPERTAHAN: TOLAK PENCABULAN DEMOKRASI KAMPUS
Kami, mewakili;
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)
Ma’ruf Club UIAM (MC)
We Unite For Islam (WUFI)
Dengan ini menyatakan sokongan terhadap pendirian dan tindakan para mahasiswa di seluruh Malaysia yang menuntut proses pemilihan perwakilan pelajar atau Pilihanraya Kampus (PRK) yang telus dan bersih sempena PRK yang bakal berlangsung di kebanyakan universiti di seluruh Malaysia pada 25 September ini.
PRK adalah merupakan suatu wahana kemasyarakatan dalam konteks alam kampus yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan berperanan sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab dengan menunaikan amanah melantik kepimpinan melalui proses demokrasi.
Justeru, kami menolak segala bentuk perancangan, tindakan dan percubaan oleh sama ada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahupun pihak universiti dalam usaha memenangkan calon pilihan universiti atau ‘Pro-Universiti’. Perbuatan ini seumpama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang sepatutnya bersikap adil dalam mengendalikan pilihanraya dan memberi kebebasan hak kepada pengundi untuk menentukan pilihan mereka, TETAPI mereka telah merancang suatu usaha untuk memenangkan calon tertentu.
Sekiranya pihak berkenaan telah merancang untuk memenangkan calon tajaan pilihan pihak-pihak tertentu dengan pelbagai bantuan dan pendanaan (sponsorship), maka apalah ertinya dan perlunya sebuah pilihanraya diadakan? Campurtangan seperti ini adalah merupakan suatu perbuatan yang biadap dan terkutuk.
Segala tindakan songsang yang mencabuli prinsip-prinsip asas demokrasi dalam PRK adalah pencabulan terhadap hak mahasiswa dan penghinaan terhadap universiti. Malah, kami berpendapat, 'pencabul' itu juga merupakan penderhaka terhadap negara dan bangsa yang kita cintai dan adalah wajar mereka segera bertaubat dan berundur daripada terus memegang posisi penting dalam kementerian atau universiti.
Oleh yang demikian, kami menyeru kepada para mahasiswa untuk memilih calon-calon yang berkelayakan untuk dijadikan pemimpin di kampus masing-masing. Pemimpin mahasiswa adalah individu-individu yang mampu berdikari, berpegang kepada prinsip, jujur, amanah dan berpekerti mulia. Calon-calon yang mesti dipilih adalah calon-calon yang bukan sahaja mempunyai kemampuan untuk menunaikan manifesto yang diumumkan, tetapi juga mestilah yang mampu menjadi uswah dan qudwah kepada warga universiti.
Kami juga ingin memaklumkan bahawa pihak kami tidak pernah atau akan bersekongkol dengan mana-mana pihak yang mengkhianati prinsip-prinsip asas demokrasi dalam PRK kali ini. Kami juga tidak bersubahat dengan sebarang perbuatan fitnah, kata-kata kesat, adu domba, ugut atau memangsakan lawan politik mana-mana pihak yang boleh menjejaskan keharmonian hidup berkomuniti dalam kampus.
Justeru, kami menyeru dan menyarankan supaya kesedaran tentang kepentingan berlaku jujur dan berprinsip terus disuburkan dalam arena politik. Pendidikan dan pembudayaan politik yang sihat adalah sangat penting demi memastikan para mahasiswa lebih matang dan dapat memimpin negara pada masa hadapan secara berprinsip dan berintegriti.
Sekian. Terima kasih.
23 SEPTEMBER 2012
SEKRETARIAT PKPIM PUSAT,
LOT 2965,
JALAN KAMPUNG TENGAH, KAMPUNG TENGAH,
BATU 61/2,
JALAN GOMBAK,
53100 KUALA LUMPUR.