Showing posts with label gamis. Show all posts
Showing posts with label gamis. Show all posts

Wednesday, 26 September 2012

Sikap mahasiswa dalam isu pilihan raya kampus UIA



Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merakamkan rasa terganggu dan terkilan dengan gejala sikap kurang bertanggungjawab dalam proses pengurusan Pilihanraya Kampus (PRK) UIAM oleh pihak berwajib.

Proses pembuangan undi bagi PRK UIAM telah berlangsung pada 25 September 2012 (Selasa) bermula jam 9.10 pagi dan berakhir pada jam 5.10 petang. Proses pembuangan undi dijalankan oleh jawatankuasa pilihanraya kampus yang diketuai oleh Datuk Dr. Mizan Bin Hitam yang juga merupakan Timbalan Rektor UIAM dengan kekuatan jawatankuasa seramai lebih kurang 300 orang staf.

Pengumuman keputusan PRK yang sepatutnya berlangsung pada pukul 6.00 petang ditangguhkan ke pukul 8.00 malam. Kira-kira jam 8.20 malam, Datuk Dr. Mizan tiba ke tempat pengumuman keputusan iaitu di Dewan Eksperimental (Experimental Hall) untuk mengumumkan keputusan.

Malangnya, Datuk Dr. Mizan sekali lagi bertindak melambat-lambatkan pengumuman keputusan PRK dengan menganjurkan para mahasiswa untuk berselawat. Beliau kemudiaannya membacakan kenyataan media yang telah pihak beliau keluarkan kepada media yang dilakukan sebelum pengumuman keputusan  dibuat di hadapan para calon yang bertanding dan pelajar yang mengundi.

Dalam kenyatan media yang beliau bacakan, beliau menyatakan masalah ‘failure data encryption’ berlaku dalam sistem e-voting. Beliau memberikan beberapa contoh ketidak-selarian yang berlaku antara peratusan pengundi dengan jumlah undian.

Justeru, beliau mengumumkan, pihak jawatankuasa pilihanraya kampus mencadangkan untuk menangguhkan keputusan PRK dengan mengadakan pilihanraya semula secara manual disebabkan masalah teknikal seperti yang disebutkan tadi.

Sesi dialog diadakan selepas selesai pembacaan kenyataan media oleh Datuk Dr Mizan. Polemik berterusan dan pelbagai persoalan dan cadangan dikemukan oleh para mahasiswa UIAM dari kampus Gombak dan Kuantan atas kemusykilan dan rasa tidak senang dengan pengumuman yang dilakukan.

Berhubung kejadiaan ini, mewakili kelompok mahasiswa yang sedar dan prihatin, kami mengenalpasti empat permasalahan dan kemusykilan utama yang perlu dijawab oleh pihak yang berwajib:

1. Pihak jawatankuasa PRK di bawah kepimpinan Datuk Mizan telah secara pasti mengetahui masalah teknikal yang berlaku berkaitan polling system sejak jam 6.00 petang iaitu pada waktu yang sepatutnya pemngumuman keputusan PRK dibuat. Justeru, mengapa pihak berwajib bertindak menzalimi para mahasiswa yang terpaksa menunggu lama menanti pengumuman keputusan PRK tanpa sebarang notis segera penangguhan masa pengumuman? Hanya setelah kira-kira jam 7.05 malam, barulah dimaklumkan tentang sesi pengumuman ditangguh ke pukul 8.00 malam.

2. Mengapa pengumuman penangguhan keputusan PRK dimaklumkan kepada pihak media terlebih dahulu sebelum diumumkan kepada para calon dan pengundi? Tindakan seperti ini menggambarkan sikap tidak profesional oleh pihak berwajib kerana tidak mampu membuat pertimbangan awlawiyat (keutamaan) kepada pihak mana harus dimaklumkan terlebih dahulu. Kami berpandangan calon dan pengundi harus diutamakan kerana mereka terlibat sebagai pemegang-taruh (stake holders) dalam PRK.Tindakan ini menggambarkan seolah-olah pihak pengurusan PRK atau pihak pentadbir tidak menghormati calon dan para pengundi.

3. Kami juga berasa hairan bagaimana media seperti NTV7 dan TV9 boleh mengumumkan keputusan palsu di stesen masing-masing dalam slot berita sedangkan menurut pihak pentadbir UIAM, kenyataan media yang dikeluarkan secara rasmi oleh UIAM adalah sepertimana yang dibacakan. Menurut staf UIAM yang menjaga jaringan media, wartawan NTV7 yang menerbitkan berita palsu berkenaan PRK di UIAM diambil dari internet. Lihat, bagaimana pihak media mencemar etika kewartawanan dan integriti dalam menyiarkan informasi kepada rakyat.

4. Kami juga ingin menyatakan keraguan kami terhadap ketelusan proses pilihanraya dijalankan. Penangguhan  pengumuman keputusan dan sikap melewat-lewatkan pengumuman yang dilakukan oleh pihak jawatankuasa PRK membangkitkan kemusykilan apakah pihak yang terbabit mampu mengurus-tadbir perjalanan PRK. Beberapa aduan diterima tentang kekeliruan dan kesamaran yang berlaku dalam proses pembuangan undi. Malah, terdapat beberapa informasi yang salah daripada staf yang terbabit dengan proses pilihanraya yang menunujukkan ketidak-sediaan pihak jawatankuasa PRK dalam menguruskan PRK di UIAM.

Oleh yang demikian, kami menyatakan beberapa tuntutan:

1. PRK yang bakal dijalankan semula mestilah telus dan profesional.
  • Kami menuntut supaya mahasiswa juga menganggotai jawatankuasa PRK.
  • PRK punya aturan yang jelas, telus dan tidak terdedah kepada sebarang kemungkinan manipulasi.
  • Melibatkan wakil calon sebagai pemerhati sepanjang proses pembuangan undi dijalankan sehinggalah kepada proses pengiraan undi.
  • Menukar pengerusi jawatankuasa PRK kampus UIAM, Datuk Dr. Mizan Bin Hitam
2. Memohon maaf secara terbuka dan bertulis kepada para calon dan mahasiswa yang mengundi kerana layanan buruk dan sikap tidak hormat kepada para mahasiswa UIAM kerana melewatkan pengumuman tanpa notis dan mengumumkan keputusan PRK kepada media sebelum para mahasiswa.

3. Atas nama pilihanraya yang telus dan adil, kami mendesak pihak jawatankuasa PRK UIAM untuk mengeluarkan data-data pengundian yang dikatakan bermasalah dengan secepat mungkin. Ini mampu membangkitakan semula rasa yakin kami terhadap keboleh-upayaan pihak jawatankuasa PRK.

4. Menafikan berita palsu berhubung keputusan yang disebarkan melalui media massa seperti NTV7 dan TV9 dan UIAM perlu mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap pihak media yang terbabit untuk membersihkan nama universiti yang dicemar dengan berita-berita palsu.

5. Kami menuntut agar hari pembuangan undi diisytiharkan sebagai hari cuti bagi memudahkan semua mahasiswa dapat menjalankan tanggungjawab mengundi dengan lancar.

Sekian, terima kasih.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)
Kelab Maaruf UIAM (MC)

Monday, 10 September 2012

Kenyataan Media Konvensyen Pro-Mahasiswa Nasional 2012


Shah Alam, 9 September : Pro-Mahasiswa Nasional, yang ketika ini menguasai beberapa kampus utama sekitar Lembah Klang hari ini mengambil inisiatif menganjurkan satu konvensyen sebagai bukti bersedia menghadapi Pilihan Raya Kampus.

Penganjurannya juga diberitakan untuk memberi isyarat bahawa mereka kali ini serius dalam menghadapi gelombang p
emilihan Majlis Perwakilan Pelajar itu berdasarkan kenyataan Datuk Ahmad Maslan di UPM baru-baru ini.

Menurut kenyataan Datuk Ahmad Maslan, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau menyatakan Pilihan Raya Kampus seluruh IPTA/S Malaysia akan diadakan serentak 25 September ini.

Sehingga kini, UM, UKM, UIA, UPM serta beberapa buah kampus lagi sudah mengumumkan akan mengadakan Pilihan Raya pada 25 September ini.

Edikoup diumum Pengerusi Baru Pro-Mahasiswa

Pro-Mahasiswa yang ditubuhkan pada tahun 2007 turut mengumumkan mahasiswa Tahun Tiga Universiti Malaya, Edikoup Lakip Sediyanto dilantik sebagai Pengerusi baru Pro-Mahasiswa Nasional di konvensyen yang dianjur di Universiti Selangor (UniSEL) kampus Shah Alam.

Edikoup yang dilantik menggantikan Mohd Taufiq Abdul, diberitakan meraih undi tertinggi berbanding empat lagi calon yang dikemukakan.

Kemuka Enam Tuntutan Bersih Kampus

Sementara itu, konvensyen yang dihadiri hampir 500 mahasiswa dari pelbagai kampus itu turut melancarkan manifesto di peringkat nasional dan enam tuntutan bersih kampus.

Pro-Mahasiswa melalui pembentangan Muhammad Ikram Darus (MPM UKM), menggagaskan dua tuntutan bersama manifesto dalam isu kebajikan mahasiswa iaitu pendidikan percuma dan menangguhkan tempoh bersara 60 tahun bagi elakkan pengangguran mahasiswa.

Edikoup dalam pembentangannya pula menyatakan Pro-Mahasiswa menuntut enam tuntutan dalam Bersih Kampus.

Menariknya, tuntutan yang bertemakan 'Bersih, Telus dan Berintegriti' itu turut menuntut agar setiap kampus memberi peruntukan dana calon kepada semua calon yang bakal bertanding.

"Peruntukan dana calon penting dalam persediaan kempen setiap calon yang bertanding. Ianya adil kerana sebelum ini kerap kedengaran sebelah pihak sahaja mendapat peruntukan khas pentadbiran universiti.", jelasnya.

Lima lagi tuntutan adalah menyamai tuntutan yang dibuat sebelum ini.

Fokusnya adalah penerapan tarikh PRK, mahasiswa terlibat urus PRK, bebas berkempen, sistem pengundian telus dan pemantauan badan badan.

Mahasiswa Mencorak Landskap Politik Negara

Dalam pada itu, pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor turut hadir bagi membentangkan kertas kerja mengenai peranan mahasiswa dalam arena politik negara.

Menurut sumber, beliau lebih banyak membentangkan mengenai sejarah politik Malaysia dan peranan mahasiswa dalam mengubah landskap politk Malaysia akan datang.

"Saya jangkakan perubahan besar akan berlaku. Kalau tidak pada PRU-13 nanti, ia mungkin pada PRU-14 atau PRU-15. Yang penting bukan terpaksa menunggu sedekad dua dekad untuk lihat perubahan.", ujarnya.

Konvesyen yang berlangsung sehingga 6 petang hari ini (Ahad) turut menampilkan Pengerusi SMM,Muhammad Safwan Anang Talib dan Presiden GAMIS, Akram Ikrami Taib Azamudden untuk memanaskan pentas pidato.

Pro-Mahasiswa turut menyatakan satu himpunan mahasiswa bakal dianjur pada 16 September ini.

Oleh : Edikoup Lakip Sediyanto (Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional Sesi 2012/2013)