Tuesday 5 March 2013

KRISIS SABAH : MAHASISWA GESA MENTERI AMBIL BERAT ANCAMAN MNLF






Kami merujuk kepada dua laporan berita yang disiarkan oleh portal berita malaysiakini yang bertajuk “Pejuang Moro dilapor akan bantu penceroboh Sulu” [http://www.malaysiakini.com/news/222969] dan “Tiada bukti pejuang Moro jugan akan serang Sabah” [http://www.malaysiakini.com/news/222975].

Kami melihat bahawa kenyataan ini merupakan kenyataan yang tidak bijak, bahkan dilihat tidak memandang serius krisis yang sedang berlaku di Sabah ketika ini. Rakyat Malaysia masih mengingati kenyataan YB Datuk Sri Hishamuddin beberapa hari yang lalu, yang mendakwa bahawa “penceroboh tersebut bukan militant atau pengganas”, namun akhirnya sehingga kini, 8 orang perajurit tanah air telah terkorban disebabkan serangan senjata api dan senjata berat daripada pihak penceroboh. Justeru itu, mahasiswa menggesa supaya Menteri Pertahanan, Datuk Sri Zahid Hamidi agar tidak memandang ancaman MNLF ini sebagai sesuatu yang tidak perlu dilayan, apatah lagi dipandang secara serius. Sejarah telah membuktikan bahawa suatu masa dahulu pernah berlaku penculikan di Semporna yang mana ia telah menguatkan lagi ancaman kumpulan ini. Sokongan rakyat Filipina terhadap “perjuangan” kumpulan penceroboh ini melalui siri-siri perhimpunan bantahan di hadapan kedutaan Malaysia di Manila juga menunjukkan bahawa MNLF mempunyai sebab yang kuat untuk memulakan tindakan mereka.

Mahasiswa juga ingin mengingatkan bahawa isu keselamatan Negara bukanlah suatu isu yang sepatutnya dipandang enteng, apatah lagi bagi seorang menteri yang memegang portfolio pertahanan Negara. Pihak media juga seharusnya menghentikan polemik “menyerang” mana-mana pihak sebagai dalang kepada peristiwa ini, bahkan sebaliknya memainkan fungsi sebenar mereka untuk terus memberikan informasi yang tepat untuk rakyat Malaysia berkenaan krisis ini. Kami juga menuntut supaya YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak agar mengadakan sidang tergempar Parlimen dengan segera bagi membincangkan isu ini dan seterusnya mengeluarkan satu keputusan bersama bagi mengutuk pencerobohan ini.

Mahasiswa juga menyeru kepada rakyat Malaysia keseluruhannya agar tidak lupa mendoakan pejuang-pejuang keselamatan Negara yang sedang berjuang mempertahankan keselamatan dan kedaulatan Negara dari ancaman penceroboh.

Muhammad Najib bin Abdurrahim
Pengerusi
We Unite For Islam [WUFI] UIAM