Friday 14 September 2012

Mahasiswa Kecewa Tindakan UIA Batalkan Tempat K-Fiqh



Terkejut dengan pembatalan tempat program Konvensyen Fiqh Politik Islam Semasa (K-Fiqh) yang bertempat di Main Auditorium, UIAM, mahasiswa berasa sangat kecewa dengan pihak pentadbiran UIA. Program yang akan berlangsung pada hari Sabtu ini telah dibatalkan tempatnya dalam tempoh 36 jam oleh UIA.
 
Setelah kecewa dengan UIA, pihak penganjur, K-Fiqh Sdn Bhd dengan kerjasama Multaqa Asatizah dan Du'at (Murshid) telah menempah tempat baru dalam masa sehari sebelum program yang bertempat di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang mampu memuatkan sehingga 1400 peserta.

Kami di peringkat mahasiswa membantah sekeras-kerasnya tindakan UIA yang bertindak secara tidak professional. Sebelum ini, WUFI pernah menganjurkan himpunan Tolak 1.0 kerana membantah campur tangan politik daripada luar yang menyebabkan 4 isu besar iaitu tekanan UIA terhadap Prof Aziz Bari, penukaran tempat ceramah Ustaz Azhar Idrus, pembatalan program bersama Dato Saifudin Abdullah dan pembatalan keterlibatan Presiden MPP UIA dalam program di TV9.
 
Selain itu, masyarakat juga kesal dengan Rektor UIA, yang telah mengeluarkan arahan pembatalan tersebut yang menggunakan alasan bercanggah dengan semangat AUKU walhal UIA tidak tertakluk di bawah AUKU.
 
Kami mendapat maklumat dan percaya bahawa isu pembatalan tempat program K-Fiqh ini mendapat campur tangan politik luar dan ‘tangan ghaib’ yang cuba mencemari kebudayaan ilmu di Taman Ilmu dan Budi.
 
Pihak mahasiswa juga sangat bimbang bahawa kemungkinan untuk berlakunya manipulasi sistem E-Undi dalam pilihanraya kampus (PRK) yang akan berlaku pada 25 September adalah sangan tinggi. Mengikut kajian terkini, PRK kali ini adalah paling sengit kerana ia menjadi cerminan kepada PRU-13 dan telah mendapat campur tangan khusus daripada pihak Perdana Menteri.
 
Justeru, kami menegaskan kepada seluruh pihak khususnya pentadbiran UIA supaya menjaga nama baik dan memelihara kesucian UIA sebagai Taman Ilmu dan Budi.
 
Saiful Mat Amin
Pengerusi WUFI UIAM