Kami merujuk kepada dua laporan berita yang disiarkan oleh
portal berita malaysiakini yang bertajuk “Pejuang Moro dilapor akan bantu
penceroboh Sulu” [http://www.malaysiakini.com/news/222969] dan “Tiada bukti
pejuang Moro jugan akan serang Sabah”
[http://www.malaysiakini.com/news/222975].
Kami melihat bahawa kenyataan ini merupakan kenyataan yang
tidak bijak, bahkan dilihat tidak memandang serius krisis yang sedang berlaku
di Sabah ketika ini. Rakyat Malaysia masih mengingati kenyataan YB Datuk Sri
Hishamuddin beberapa hari yang lalu, yang mendakwa bahawa “penceroboh tersebut bukan
militant atau pengganas”, namun akhirnya sehingga kini, 8 orang perajurit tanah
air telah terkorban disebabkan serangan senjata api dan senjata berat daripada
pihak penceroboh. Justeru itu, mahasiswa menggesa supaya Menteri Pertahanan,
Datuk Sri Zahid Hamidi agar tidak memandang ancaman MNLF ini sebagai sesuatu
yang tidak perlu dilayan, apatah lagi dipandang secara serius. Sejarah telah
membuktikan bahawa suatu masa dahulu pernah berlaku penculikan di Semporna yang
mana ia telah menguatkan lagi ancaman kumpulan ini. Sokongan rakyat Filipina terhadap
“perjuangan” kumpulan penceroboh ini melalui siri-siri perhimpunan bantahan di
hadapan kedutaan Malaysia di Manila juga menunjukkan bahawa MNLF mempunyai
sebab yang kuat untuk memulakan tindakan mereka.
Mahasiswa juga ingin mengingatkan bahawa isu keselamatan
Negara bukanlah suatu isu yang sepatutnya dipandang enteng, apatah lagi bagi
seorang menteri yang memegang portfolio pertahanan Negara. Pihak media juga
seharusnya menghentikan polemik “menyerang” mana-mana pihak sebagai dalang
kepada peristiwa ini, bahkan sebaliknya memainkan fungsi sebenar mereka untuk
terus memberikan informasi yang tepat untuk rakyat Malaysia berkenaan krisis
ini. Kami juga menuntut supaya YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib
Tun Abdul Razak agar mengadakan sidang tergempar Parlimen dengan segera bagi
membincangkan isu ini dan seterusnya mengeluarkan satu keputusan bersama bagi
mengutuk pencerobohan ini.
Mahasiswa juga menyeru kepada rakyat Malaysia keseluruhannya
agar tidak lupa mendoakan pejuang-pejuang keselamatan Negara yang sedang
berjuang mempertahankan keselamatan dan kedaulatan Negara dari ancaman
penceroboh.
Muhammad Najib bin Abdurrahim
Pengerusi
We Unite For Islam [WUFI] UIAM