Friday 3 August 2012

TERBAIK DARI PEMIMPIN MAHASISWA UIAM


"Misi yang ingin dicapai oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia merupakan suatu susunan misi yang cukup menarik. Konsep IIICE (Integration, Internationalization, Islamization and Comprehensive Excellence) merupakan suatu falsafah yang menggarisi segala perilaku termasuklah kebudayaan ilmu, persekitaran mahupun pelaksanaan secara praktikal dalam universiti ini. Perkara yang jelas membezakan misi universiti ini berbanding universiti-universiti lain adalah misi Islamisasinya. Agenda Islamisasi inilah yang mencipta suatu keistimewaan kepada universiti ini setelah agenda integrasi, pengantarabangsaan dan kefahaman menyeluruh itu telah mula diserap dan diaplikasikan oleh universiti-universiti lain di Malaysia. 

Walaupun begitu, secara realitinya, agenda Islamisasi ini dilihat semakin jauh daripada falsafah universiti. Fungsi universiti untuk mengislamisasikan tiga aspek utama iaitu ilmu, kebudayaan dan persekitaran serta penguatkuasaan undang-undang dilihat tidak bersungguh-sungguh. Dalam erti kata yang lain, proses yang berlaku secara realiti pada hari ini adalah proses deislamisasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. 

Merujuk kepada pandangan Syed Naquib al-Attas dalam karangan beliau yang berjudul Islam dan Sekularisme, beliau ada menyinggung tentang soal universiti sebagai suatu tempat yang bersifat menyeluruh yang merangkumi aspek keilmuan serta perkembangan spiritnya. Kesan akhir daripada proses ini, akan melahirkan individu yang baik yang seimbang dari sudut keperluan fardhu ainnya sebagai pasak yang teras di samping pengembangan ilmu fardhu kifayahnya atau disebut juga sebagai ilmu alat. Hanya proses Islamisasi sahaja mampu untuk merealisasikan agenda pembentukan individu yang baik.

Sebagaimana yang telah dinyatakan, proses deislamisasi telah mula mengambil alih struktur asas yang telah menjadi imej universiti itu sendiri iaitu ilmu atau kurikulum, kebudayaan dan undang-undang. Pertama, dalam konteks kurikulum, terdapat beberapa persoalan yang harus dikemukakan bagi mengabsahkan bahawa sememangnya berlakunya proses deislamisasi dalam konteks ini. Apakah kurikulum itu boleh dinamakan sebagai Islamisasi sekiranya dalam proses pembelajaran buku teks yang diceduk terus daripada Barat sebagai contoh subjek Ekonomi yang berpaksikan pada idea kapitalis, dan di akhirnya hanya terdapat satu bab yang disebut sebagai menurut perspektif Islam yang kadang-kala tidak disentuh pun oleh pensyarah, malahan pelajar pula menganggap bab ini adalah suatu bab yang boleh difikirkan secara logik untuk dijawab dalam peperiksaan? 

Seterusnya, apakah cukup dinamakan Islamisasi seandainya mewujudkan beberapa subjek tertentu yang diwajibkan ke atas pelajar, namun, di pihak pelajar, kebanyakannya menganggap subjek tersebut sebagai suatu subjek untuk skor dalam peperiksaan? Terdapat dua aspek deislamisasi yang berlaku di sini. Pertama, dari sudut pembinaan individu. Kedua, dari sudut kehilangan nilai Islamisasi dari aspek teknikal. Apabila kurikulum tidak lagi mampu untuk membina individu, pada waktu itu, proses pendidikan itu telah mula kehilangan taadib iaitu proses beradab dalam pengajaran dan pembelajaran, lantaran itu, kesan ahirnya adalah kita tidak mampu mencipta watak individu yang mempunyai karismatik dan kredibiliti dalam masyarakat. Manakala, apabila nilai Islamisasi itu hilang dari aspek teknikal, kurikulum universiti tidak jauh beza dengan universiti lain. 

Sebagai contoh, proses pembelajaran subjek sains, harus diakhiri dengan suatu struktur pemikiran untuk meningkatkan tahap hidup masyarakat. Menurut Syed Hussein Nasr, sains yang sebenar adalah sesuatu yang mampu mencipta demi kebaikan sejagat, bukan sebaliknya, termasuklah penciptaan senjata yang bersifat destuktif yang menghuru-harakan dunia. Selain itu, dalam aspek kurikulum bersifat teknikal juga, universiti ini telah mula kehilangan nilai Islamisasinya apabila tidak lagi mampu berbahas secara kritikal, mengkaji permasalahan dasar serta penyelesaian secara praktikal melalui proses Islamisasi tentang struktur asas yang menggarisi falsafah pemikiran dunia dalam kehidupan seharian termasuklah isu ekonomi, pendidikan, sosial dan politik. Pergerakan universiti yang lebih bersifat mengikut arus atau rentak dunia luar, menyebabkan sedikit demi sedikit, identiti Islamisasinya mula hilang secara beransur-ansur. 

Kedua, nilai kebudayaan atau persekitaran universiti juga telah dipengaruhi oleh proses deislamisasi. Lihat sahajalah bagaimana perilaku warga di dalamnya. Apabila budaya tidak menutup aurat itu menjadi suatu kebiasaan, dan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan itu adalah sesuatu yang sudah lagi tidak dipandang serong, pada waktu itulah, kita katakan bahawa universiti ini secara perlahan-lahan telah terpesong jauh dari imej Islamnya. Suasana persekitaran universiti yang mula mengikuti rentak dunia luar akan menyebabkan berlakunya konflik nilai dalam kalangan warganya sendiri. Lantas, mereka merasakan fokus kehadiran mereka di sini adalah bermatlamatkan material sama ada untuk memperolehi gred yang baik mahupun gaji yang tinggi, lalu, akan dilupakan kebudayaan sebenar yang harus wujud di sini. 

Kebudayaan yang makin lenyap ini langsung akan mewujudkan suatu bentuk yang destruktif terhadap imej universiti ini sendiri. Pandangan dan persepsi awam terhadap warganya semakin pesimis apabila melihat perilaku warganya tidak berbeza pun daripada warga universiti lain. Kewujudan universiti dan warganya pula tidak dapat dirasai auranya oleh masyarakat awam. Kesan akhirnya, imej universiti dari sudut kebudayaan Islamnya hanya disifatkan sebagai retorik yang dikaburi dengan namanya semata-mata. Begitu juga, kebudayaan itu tidak terhad pada aspek penampilan semata-mata, bahkan juga dari dapat dinilai daripada aspek interaksi dalam kalangan warganya sendiri. Dari aspek interaksi, budaya salam dan menghormati antara satu sama lain itupun telah mula beransur-ansur luput. Seolah-olah suatu kewujudan budaya individual mula meresap ke dalam kebudayaan universiti kesan dari deislamisasi. 

Ketiga, dari aspek penguatkuasaan undang-undang, berlaku suatu orientasi penguatkuasaan undang-undang yang bersifat menindas dan menekan. Undang-undang lebih bersifat untuk mengejar hasil saman berbanding mendidik. Bahkan juga, penekanan pada penguatkuasaan undang-undang itu sendiri bersifat selektif. Sekiranya saman itu sebagai salah satu instrumen kepada penguatkuasaan undang-undang, kenapa saman itu tidak dilaksanakan secara sama rata antara pengguna yang menunggang motosikal tanpa topi keledar dengan warga yang tidak menutup aurat sebagaimana yang tertera dalam peraturan universiti. Begitu juga dalam aspek penguatkuasaan peraturan universiti terhadap kemasukan pengunjung dari luar, apabila syarat telah meletakkan menutup aurat itu adalah suatu perkara yang harus dipatuhi termasuklah kepada bukan Islam, maka seharusnya penguatkuasaan ini harus dilaksanakan secara menyeluruh. Inilah yang menjadikan imej universiti ini dari sudut Islamisasinya itu berbeza dengan universiti lain.

Pada akhirnya, satu harapan yang diharapkan adalah, falsafah Islamisasi yang diagung-agungkan oleh universiti harus didasari dengan aplikasi, bukan semata-mata retorik yang tidak berkesudahan. Deislamisasi yang sedang berlaku ini sedang memuncak, yang telah memesongkan matlamat penubuhan universiti itu sendiri. Penyembelihan ruh keilmuan dan perbincangan sarjana yang benar-benar menghayati erti Iqra’ itu semakin lama semakin pudar. Paling dibimbangi, di akhirnya, kita tidak mampu berdiri sebagai suatu institusi yang mendidik, sebaliknya hanya berfungsi sebagai pengeluar umpama sebuah kilang yang menghasilkan produk yang telah diprogramkan, bukannya befikir!"

Source: http://www.facebook.com/groups/245332432178227/permalink/334778449900291/