Sunday, 26 August 2012

POLITIK HUDUD

PAS sememangnya menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai dasar partinya. UMNO pula tidak mahu kalah dalam menonjolkan partinya juga memperjuangkan Islam. PAS dan UMNO diwakili dan mewakili kebanyakkan Melayu Islam. Kedua-duanya adalah lawan tradisi antara satu sama lain dalam pilihanraya. Bagi pengundi Melayu Islam, jika tidak undi UMNO, PAS dijadikan sebagai pilihan kedua – atau sebaliknya.

Sekalipun faktor undi bukan Melayu terhadap UMNO dan PAS mampu mempengaruhi keputusan pilihanraya, undi Melayu tetap menjadi undi teras kepada kedua-dua parti tersebut. Maka ia terlebih penting dan utama untuk diberikan perhatian. Kegagalan mendominasi sokongan pengundi teras ini akan menggoyahkan pengaruh dan kedudukan masing-masing.

Mutakhir ini, kesedaran dan kefahaman terhadap Islam dalam kalangan masyarakat Melayu – dan juga masyarakat bukan Islam – memperlihatkan adanya perkembangan yang positif dan lebih jelas jika ia ditinjau dalam kalangan generasi muda. Maka ciri-ciri keIslaman menjadi faktor penting kepada golongan ini untuk membuat pilihan disamping faktor kemampuan mengurustadbir Malaysia dengan lebih cekap, akauntabiliti dan telus.

Nilai tambah kepada UMNO untuk terus dijadikan pilihan oleh pengundi adalah  kuasa dan material yang dimilikinya dan PAS pula sentiasa ‘istimewa’ dengan perjuangannya untukmewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan AllahMalangnya, kini UMNO terpalit dengan pelbagai skandal dan jenayah, dan PAS pula semakin diberi perhatian oleh masyarakat.

Maka kini, UMNO gagal memiliki faktor kemampuan mengurus tadbir Malaysia dan PAS pula terus menguasai faktor ciri-ciri keIslaman. Lalu HUDUD dijadikan isu penting untuk menjalankan fungsi serampang dua mata iaitu memperkukuh faktor ciri-ciri keIslaman UMNO dan meretakkan hubungan parti komponen Pakatan Rakyat – khususnya antara PAS dan DAP.

UMNO perlu menguasai ciri-ciri keIslaman ini bagi memperlihatkan PAS tidak lagi istimewa. UMNO sama-sama bersyahadah, mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji sebagaimana PAS dan ia juga perlu menyokong pelaksanaan hudud sebagaimana PAS. Keadaan ini ‘memaksakan’ pengundi untuk bersandar kepada nilai tambah yang dimiliki UMNO untuk membuat pilihan dengan lebih yakin.

Keretakkan hubungan antara PAS dan DAP diwujudkan bagi menggagalkan potensi Pakatan Rakyat untuk mengambil alih peranan sebagai kerajaan persekutuan pasca PRU13. Keretakkan ini dicetuskan dengan cara menggugat kepercayaan dan keyakinan pengundi teras PAS iaitu Melayu dan pengundi teras DAP iaitu Cina terhadap dasar parti masing-masing. Dengan demikian diharapkan dapat mengurangkan undi mereka terhadap kedua-dua parti tersebut dan menimbulkan perkelahian diantara kedua-duanya.

Ketegasan pendirian rasmi PAS, melalui kenyataan Mursyidul Am dan Presiden parti Islam itu adalah penting bagi memperkukuhkan ciri-ciri keIslamannya sekaligus memperlihatkan keikhlasan dan kesungguhan PAS untuk melaksanakan hudud. Tidak seperti lawannya, diam seribu bahasa dan sentiasa membatu api yang memperlihatkan ‘main-mainnya’ parti itu dalam isu pelaksanaan HUDUD dan rela membiarkan HUDUD dipermain-mainkan.

Saya menggesa supaya para ulama’ serta pemimpin PAS dan UMNO, para mufti dan pakar-pakar dalam bidang syariah dan perundangan, segera mengadakan pertemuan dan perbincangan bagi menentukan pendirian,  mengadakan ketetapan dan mencari jalan keluar terhadap isu ini daripada ia terus menjadi ‘modal politik’ pihak tertentu demi meraih kepentingan yang bercanggah dengan akidah.

Saya juga ingin melahirkan rasa bangga dan sokongan terhadap ketegasan PAS di dalam isu ini. Ketegasan ini bukan sahaja berjaya menyelamatkan akidah umat Islam bahkan telah melahirkan rasa hormat masyarakat bukan Islam terhadap Islam.

Wallahua’lam.

Saya yang benar,
EIKHWAN ALI
Pengerusi INSPIRASI