Wednesday 12 September 2012

Jangan cemarkan demokrasi kampus!


Jika ditanya kepada masyarakat umum soalan “siapakah mahasiswa” pasti mereka akan menjawab mahasiswa adalah pemimpin masa depan negara. Ada juga jawapan yang mengatakan mahasiswa adalah agen perubahan negara ke arah yang lebih baik. Tidak ketinggalan jawapan mahasiswa adalah golongan intelektual yang mempunyai pemikiran yang bijak. Tidak perlu saya sebutkan semua jawapan yang ada kerana jawapan itu terletak pada pemikiran masing-masing.
 
Segala jawapan di atas adalah objektif yang dilihat relevan dan sesuai berdasarkan realiti dari sudut pandang masyarakat umum. Tidak banyak beza sekiranya persoalan di atas bila mana ditanya kepada pentadbiran universiti, sudah pasti jawapannya hapir sama. Oleh itu persoalan yang akan saya lontarkan di sini adalah bagaimana pihak universiti memberi ruang yang lebih demokrasi kepada mahasiswa untuk mereka beraksi, untuk mereka memimpin, untuk mereka berpolitik, bepersatuan, membuat keputusan dan sebagainya.
 
Pihak universiti perlu tahu peranan mahasiswa dan kesuburan demokrasi kampus. Seharusnya mahasiswa diberi kebebasan untuk mereka melakukan apa sahaja selagi mana perkara tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak, serta falsafah universiti. Amat mendukacitakan bilamana pihak universiti memberi doktrinisasi negatif kepada mahasiswa serta momokan yang tidak sepatutnya. Sebagai contohnya adalah mahasiswa dilarang untuk berpolitik dalam kampus serta menyatakan pendirian pada politik luar atau mengambil tahu soal politik luar atau mengkritik urustadbir negara yang kurang baik. Ini adalah satu perkara yang sepatutnya tidak berlaku dalam negara yang kononnya sudah 55 tahun merdeka.
 
Bahang PRK
 
Baru-baru ini Pro Mahasiswa Nasional yang dipimpin oleh saudara Edikoup Lakip Sediyanto dari Universiti Malaya membentangkan beberapa perkara yang perlu diperbaiki dalam pilihan raya kampus semasa konvensyen Pro Mahasiswa Nasional. Saya bersetuju dengan 6 tuntutan tersebut untuk memastikan demokrasi kampus dalam pilihan raya kampus lebih telus,adil,dan mempunyai integriti yang ditunjukkan oleh semua pihak. Ada pihak yang mempersoalkan bahawa tidak demokrasikah pilihan raya kampus sebelum ini?
 
Saya ingin menjawab persoalan ini bahawa kebanyakan kampus yang disertai oleh Pro Mahasiswa mereka tidak dibenarkan untuk berkempen di kolej kediaman sedangkan hak berkempen itu bebas selagi berada dalam tempoh berkempen. Ada juga universiti yang membatalkan kemenangan wakil atau calon pro mahasiswa kerana berkempen menggunakan facebook atau twitter. Demokrasikah itu? Tepuk dada tanya akal.
 
Pendirian tentang Demokrasi Kampus Tulen
 
Saya berpendiriana bahawa pihak universiti tidak sepatutnya menghalang mahasiswa untuk berpolitik. Kedua, mahasiswa harus diberi kebabasan berfikir dalam pilihan raya kampus dalam memilih calon mahupun dalam apa jua aktiviti kerana mereka akan lebih terbuka dan lebih berfikir secara matang dalam membuat penilaian dan keputusan. Ketiga, tolak budaya politik “ ampu”, kerana budaya ini tidak mematangkan mahasiswa malah membantutkan budaya usaha dan kerjasama dikalangan mahasiswa. Andai perkara ini terus berlaku, saya tidak teragak-agak mengatakan bahawa objektif dan matlamat KPT serta unviersiti gagal.Hal ini kerana melahirkan mahasiswa yang gagal dalam kemahiran serta tidak ada budaya saing yang sihat dikalangan mahasiswa.
 
Saya juga lebih cenderung untuk pihak universiti memperbanyakkan wacana ilmiah tentang pendidikan negara, politik negara, sistem ekonomi negara melibatkan partisipasi mahasiswa untuk dibincangkan secara terbuka dan kritikal bagi membolehkan mahasiswa faham akan peranan jangka panjang mereka. Negara yang baik adalah negara yang memberi ruang kepada rakyat yang intelek khususnya untuk bersuara dan menyatakan pendapat walaupun pendapat dan cadangan tersebut amat pedih.
 
 
Muhammad Ikram Darus
Timbalan Pengerusi
Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)
merangkap mantan Naib Presiden 4 MPMUKM