Monday 17 September 2012

Penggerak Mahasiswa tolak debat dengan Pro Mahasiswa UM

Kuala Lumpur - Penggerak Mahasiswa Universiti Malaya (UM) telah menolak jemputan daripada Pro Mahasiswa Universiti Malaya (UM) untuk berdebat pada malam esok.
Sebelum ini Pro Mahasiswa UM telah menghantar surat jemputan kepada Pengerusi Penggerak Mahasiswa UM, Marwan Kahar Baharuddin untuk berdebat tentang isu-isu semasa pilihanraya kampus.

Debat yang bertajuk 'Demokrasi atau Konspirasi' sepatutnya akan diadakan pada 18 September ini di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Pengerusi Pro Mahasiswa Universiti Malaya, Edikoup Lakip Sediyanto berkata "Debat pada malam esok tidak dapat diteruskan kerana diperingkat Penggerak Mahasiswa tidak dapat memenuhi tarikh tersebut."

Menurut mantan Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional, Mohd Taufiq Abdul ketika dihubungi oleh Mahasiswakini berkata "Penggerak Mahasiswa sebenarnya gentar untuk berdebat dengan Pro Mahasiswa. Mereka tidak bersedia berhadapan dengan mahasiswa tentang isu konspirasi 'Ops 2020' yang pernah dibangkitkan Pro Mahasiswa sebelum ini." 

"Kita juga pernah menjemput Menteri Pengajian Tinggi Datuk Khalid Nordin untuk berdebat tentang isu mahasiswa dan kampus, namun sehingga hari ini beliau masih senyap untuk berdebat dengan mahasiswa." kata beliau lagi.

Mahasiswakini sedang cuba mendapatkan respon dari Pengerusi Penggerak Mahasiswa UM.
-Berita akan menyusul-

sumber : mahasiswakini.net